Pages

Thursday, June 2, 2011

KURIKULUM SESUAI UNTUK MURID PINTAR


1.0  PENGENALAN
Menurut Ishak Ramly (2003), kurikulum merangkumi semua pengalaman yang didapati di dalam dan luar sekolah dan perkara yang diajarkan di sekolah dan bilik darjah. Beliau juga telah mengklasifikasikan kurikulum kepada tiga bahagian iaitu kurikulum sebagai program yang dirancang dan dilaksanakan di sekolah, kurikulum sebagai program yang dirancang dan dilaksanakan secara praktikal di dalam kelas dan kurikulum adalah pengisian sepanjang hayat bagi membudayakan ilmu dan pengalaman individu atau berkumpulan.
      Menurut Taba (1962) kurikulum adalah satu perancangan pembelajaran manakala Saylor et. al (1981) pula mengatakan bahawa kurikulum adalah perancangan yang dibuat untuk menyediakan set pembelajaran untuk memberi peluang kepada seseorang untuk berpendidikan. Bushoff et. al pula memberikan definisi kurikulum dengan lebih lengkap iaitu kurikulum adalah perancangan pendidikan yang menerangkan:
·         Tujuan, matlamat dan objektif tindakan pendidikan
·         Cara, maksud dan aktiviti-aktiviti yang dilakukan untuk mencapai matlamat tersebut
·         Kaedah dan instrumen yang diperlukan untuk menilai kejayaan sesuatu tindakan
Daripada beberapa takrifan kurikulum di atas, dapat disimpulkan bahawa kurikulum adalah satu perancangan pendidikan yang dibuat untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Kurikulum juga dirangka dengan meletakkan beberapa perkara penting yang menjadi panduan kepada mereka yang menggunakannya.
Kurikulum biasa tidak dapat memenuhi keperluan murid pintar cerdas. Beberapa keperluan penting yang perlu dipenuhi oleh murid pintar cerdas adalah seperti kelajuan (Saccuzzo, Johnson dan Guertin, 1994), keupayaan untuk belajar lebih mendalam (Davis dan Rim, 2003), keupayaan untuk memanipulasi pengetahuan sedia ada secara konsepsual (Sternberg, 2003), canggih, rumit dan kompleks (Gallagher dan Gallagher, 1994) dan keperluan kepelbagaian dan cabaran dalam pengalaman pembelajaran (VanTassel-Baska, 2003).

2.0  SEJARAH PERKEMBANGAN KURIKULUM PENDIDIDIKAN PINTAR CERDAS DI DUNIA
Terdapat beberapa konsep kurikulum telah membentuk pemikiran mereka yang terlibat dengan murid pintar cerdas. Bermula pada tahun 1919 lagi, kelas khas telah bermula di beberapa lokasi seperti New York dan Cleveland. Pada masa ini, terdapat perbezaan dalam pembelajaran seperti isi kandungan dan strategi pengajaran. Tiada peperiksaan dijalankan. Pada tahun 1950 pula, beberapa program dilaksanakan. Masih menekankan kepada pembezaan isi kandungan, pelajar pintar cerdas dapat belajar dengan lebih sistematik.
      Ward (1961) pula mengembangkan teori pembezaan kurikulum bagi murid pintar cerdas yang ditetapkan. Meeker (1969) menyatakan bahawa isi kandungan kurikulum yang khusus dapat mengatasi kelemahan pelajar pintar cerdas terutamanya dalam bidang daya ingatan, kognitif, pemikiran divergen, pemikiran konvergen dan penilaian. Stanley, Keating dan Fox (1974) menumpukan kepada isi kandungan model pecutan untuk membezakan program untuk pelajar pintar cerdas. Renzulli (1975) lebih berfokus kepada pembezaan model kurikulum dengan menyatakan bahawa pelajar pintar cerdas tidak lagi terikat dengan aktiviti pengayaan tetapi kepada latihan dalam kemahiran berfikir. Program yang dicadangkan pula berorientasikan projek menangani masalah sebenar untuk diselesaikan.
      Passow (1982) merumuskan tujuh prinsip kurikulum yang akan dibincangkan di dalam tajuk berikutnya. Van-Tassel Baska (1993b) menggariskan sebanyak dua puluh aspek kurikulum yang baik untuk pelajar pintar cerdas yang menekankan isi kandungan, proses dan produk dan konsep dimensi tema. Berikutnya, Van-Tassel Baska bersama Johnson, Huges dan Boyce (1996) menyatakan bahawa data dari kajian terdahulu telah digunakan untuk membina kurikulum pelajar pintar cerdas.

3.0  SEJARAH PERKEMBANGAN KURIKULUM PENDIDIKAN PINTAR CERDAS DI MALAYSIA
Sejarah perkembangan kurikulum dan program melibatkan murid pintar cerdas di Malaysia menyaksikan pelaksanaan beberapa program. Bermula dari tahun 1962 sehingga sekarang, evolusi kurikulum dan program murid pintar cerdas seperti tidak mempunyai kesinambungan antara satu sama lain. Setiap satu program yang dilaksanakan hanya berdiri sendiri dan tidak ada matlamat jangka panjang kecuali program PERMATApintar dan kurikulum yang dilaksanakan oleh Maktab Rendah Sains MARA.
Kelas Sistem Ekspress dilaksanakan bermula pada tahun 1962 hingga awal tahun 1970-an. Program ini memberi peluang kepada kanak-kanak yang memiliki potensi dan memperolehi pencapaian yang mengatasi rakan-rakan sebaya mereka untuk memendekkan tempoh sekolah rendah mereka daripada 6 tahun kepada 5 tahun.
Malaysian Mensa Society pula didaftarkan pada 22 Mei 1984 oleh Tan Sri Dato Yong Poh Kon. Persatuan ini mempunyai tujuan untuk mengumpul individu pintar cerdas di Malaysia seramai mungkin. Maka, tujuan yang lebih spesifik ialah untuk mengenalpasti dan mengembangkan kecerdasan manusia. Mereka yang berminat untuk menganggotai persatuan ini dikehendaki membayar yuran dan menduduki ujian kepintaran. Hanya mereka yang layak dan mencapai markah tertentu sahaja yang layak mendaftarkan diri sebagai ahli.
Program BAKA dilaksanakan pada tahun 1985 oleh Profesor Madya Azman Wan Cik iaitu pensyarah di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya. Program ini adalah berbentuk penyelidikan. Ia menggunapakai satu ujian yang dinamakan BAKA untuk mengenalpasti pelajar pintar cerdas.
Penilaian Tahap 1 diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 1996 untuk pelajar darjah 3. Pelajar yang berjaya melepasi ujian ini layak meneruskan pembelajaran mereka ke darjah 5. Walau bagaimanapun, program ini ditangguhkan pada tahun 2001 kerana menghadapi beberapa masalah.
Kurikulum Maktab Rendah Sains MARA turut menumpukan pengajaran dan pembelajaran kepada murid pintar cerdas. Penggunakan Model Pengayaan Seluruh Sekolah (MPSS) bermula tahun 1988 telah dilaksanakan dimana program ini diadaptasi daripada The Enrichment Triad Model yang dibina oleh Renzulli (1976). (Sila rujuk Kajian Kes 1 untuk maklumat lanjut).
Terbaru, Program PERMATApintar telah dilancarkan pada 2 Mac 2010 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Penaung program ini ialah Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri Malaysia. Program ini bertujuan membantu kanak-kanak pintar cerdas mengalami proses pembelajaran yang dapat merangsang minda mereka. (Sila rujuk Kajian Kes 2 untuk maklumat lanjut).

4.0  CIRI-CIRI KURIKULUM DAN PENGAJARAN BERKUALITI TINGGI
Kurikulum bagi murid pintar cerdas adalah sama dengan kurikulum asas bagi murid biasa. Namun, terdapat beberapa perkara yang membezakan kedua-dua kurikulum iaitu:
·         Pengayaan kurikulum asas (kaedah pengayaan yang merentas kurikulum dan kaedah pengayaan yang berfokus pada bidang yang diminati murid).
·         Kaedah dan teknik pembelajaran melalui pengalaman seperti kerja projek, simulasi, kajian kes, main peranan, penyelidikan, rekacipta dan pelbagai kaedah lain yang melibatkan aktiviti koperatif dan komunikasi secara individu atau berkumpulan. Suasana pembelajaran adalah berbentuk pertandingan dan persaingan konstruktif.
·         Kaedah dan pengajaran guru yang khusus (kaedah kemahiran belajar, kemahiran berfikir, pembelajaran masteri, pembelajaran akses kendiri, pembelajaran berarah kendiri, pembelajaran koperatif dan lain-lain).
·         Bahan-bahan rujukan dan bahan-bahan bacaan bertahap tinggi yang memberi fokus pada bidang-bidang yang diminati oleh murid seperti sukan, drama, seni dan lain-lain.
Terdapat beberapa ciri-ciri kurikulum yang berkualiti tinggi dan perlu diambilkira dalam pembentukan kurikulum untuk murid pintar cerdas. Antaranya ialah lebih fokus kepada fakta-fakta penting, kefahaman dan kemahiran dalam bidang ilmu yang bernilai tinggi dan menyediakan peluang untuk pelajar membina pemahaman yang lebih mendalam. Selain itu, kurikulum hendaklah diselaraskan supaya semua tugas murid sejajar dengan matlamat untuk memahami lebih mendalam. Kurikulum juga seharusnya menyokong keperluan murid seperti membina idea, menyeronokkan, melibatkan kolaborasi bermakna, melibatkan kehidupan seharian, segar, mengujakan, berguna kepada murid, kaya dan padat.
Kurikulum yang baik untuk murid pintar hendaklah mengambil kira ciri-ciri murid pintar iaitu keupayaan mereka, minat dan keutamaan pembelajaran. Rekabentuk kurikulum perlulah menyediakan pengalaman pembelajaran yang memerlukan pemikiran kritikal, penyelesaian masalah, kemahiran pembelajaran kendiri, komunikasi dan kegigihan untuk menghadapi cabaran.  Apabila mereka mengikuti kurikulum sebegini, mereka akan membina keupayaan yang unik, mempertahankan kecintaan mereka terhadap pembelajaran dan mempunyai peluang untuk menyumbangkan sesuatu yang positif untuk sekolah, masyarakat dan negara.


5.0  PEMBEZAAN KURIKULUM
Pembezaan kurikulum adalah kurikulum yang dikhususkan kepada kumpulan murid-murid tertentu seperti pintar cerdas, pendidikan khas, murid biasa, berdasarkan kebiasaan (habit) dan cara pembelajaran. Menurut Shahabudddin Hashim, Rohizani Yaakob dan Mohd Zohir Ahmad (2007), pembezaan kurikulum bukanlah memberi kerja-kerja tambahan kepada pelajar selepas mereka selesai melakukan aktiviti biasa tetapi lebih merupakan perancangan strategi yang pelbagai kepada individu, kumpulan dan kelas yang pelbagai.
      Menurut VanTassel-Baska (2003a) pula, kurikulum untuk murid pintar perlu dibezakan pada semua tahap termasuk matlamat pembelajaran, hasil pembelajaran yang diinginkan, aktiviti dan projek yang perlu dilaksanakan murid, strategi yang digunakan oleh guru, bahan-bahan bantu mengajar yang digunakan dan cara pentaksiran untuk mengukur kemajuan pembelajaran murid.
      Passow (1982) telah membina tujuh prinsip dalam pembezaan kurikulum yang perlu diberi perhatian dan menjadi panduan. Prinsip-prinsip tersebut ialah:
1.      Kandungan kurikulum untuk murid pintar cerdas hendaklah mempunyai berfokus dan disusun dengan lebih teliti, kompleks, pembelajaran yang mendalam terhadap sesuatu idea, masalah dan tema yang menggabungkan pengetahuan dan merentasi sistem pemikiran.
2.      Kurikulum untuk murid pintar cerdas hendaklah membenarkan pelajar membina dan mengaplikasikan kemahiran berfikir secara produktif yang membolehkan pelajar membina semula konsep pengetahuan sedia ada atau membina ilmu pengetahuan baru.
3.      Kurikulum untuk murid pintar cerdas hendaklah membenarkan murid untuk sentiasa meneroka ilmu dan maklumat dan membina satu kesedaran bahawa ilmu sangat mempengaruhi kehidupan mereka.
4.      Kurikulum untuk murid pintar hendaklah menggalakkan pendedahan, pemilihan dan penggunaan sumber yang sesuai dan khusus.
5.      Kurikulum untuk murid pintar hendaklah dapat membantu murid untuk meningkatkan inisiatif kendiri dan perkembangan pembelajaran arah kendiri.
6.      Kurikulum untuk murid pintar hendaklah menyediakan keperluan pembangunan kefahaman terhadap diri sendiri, memahami hubungan antara individu, institusi sosial, persekitaran dan budaya.
7.      Perkembangan kurikulum untuk murid pintar cerdas hendaklah dilaksanakan mengikut prinsip-prinsip yang telah ditetapkan, menekankan kepada kemahiran berfikir aras tinggi, kreativiti dan cemerlang dalam pencapaian dan produk.
      Terdapat beberapa model dalam pembezaan kurikulum. Namun, penulisan ini hanya membincangkan model yang popular dan sering digunakan iaitu Model Maker (1982a, 1982b, 1986).
      Maker mencadangkan bahawa kurikulum perlu dibezakan mengikut empat perkara iaitu persekitaran pembelajaran, pengubahsuaian kandungan, pengubahsuaian proses dan pengubahsuaian produk.
      Persekitaran pembelajaran bertujuan untuk mencipta sesuatu persekitaran yang menggalakkan pelajar untuk menggunakan kebolehan mereka ke tahap yang maksimum, kesanggupan mengambil risiko dam membina ilmu dan kemahiran yang mereka perolehi dalam persekitaran yang selamat dan fleksibel. Beberapa perkara yang perlu diberi perhatian iaitu pembelajaran berfokus kepada minat murid, menggalakkan berdikari dan toleransi, persekitaran yang terbuka, menerima sebarang idea dan pendapat sebelum menilainya, kompleks iaitu mempunyai pelbagai maklumat, idea, kaedah dan sebagainya dan boleh bergerak dengan mudah dalam persekitaran pembelajaran.
      Pengubahsuaian kandungan bertujuan untuk mengelakkan had pembelajaran pelajar. Kebolehan pelajar seharusnya digunakan untuk membina asas ilmu pengetahuan dengan lebih banyak, mempunyai kepelbagaian dan lebih berkesan. Bagi mencapai tujuan ini, kandungan kurikulum hendaklah diubah dari pembelajaran fakta, definisi dan pernyataan konsep kepada hubungan antara konsep dan generalisasi. Penekanan terhadap mengkaji hubungan terhadap sesuatu perkara perlu dibuat berbanding mengkaji sesuatu perkara secara berasingan. Bahan yang digunakan hendaklah dipelbagaikan. Pelajar juga boleh membuat peyelidikan inkuri terhadap sesuatu prosedur bersama orang yang lebih pakar dalam sesuatu bidang.
      Pengubahsuaian terhadap proses pula bertujuan untuk menggalakkan kemahiran berfikir pada aras kognitif yang lebih tinggi dan menggalakkan pelajar menggunakan ilmu mereka telah kuasai secara produktif. Ini boleh dilakukan dengan pelbagai cara. Antaranya ialah menggunakan pengajaran pelbagai aras seperti yang terkandung dalam Proses Kognitif Bloom’s Taxonomy (1984), membina pemikiran kreatif yang merangkumi imaginasi dan intuitif, menggalakkan pengambilan risiko yang munasabah, menekankan bahawa penerimaan jawapan yang fleksibel, menggalakkan interaksi pelajar, membenarkan pelajar bergerak dalam pemikiran yang lebih laju, menyertakan kepelbagaian cara pembelajaran dan membenarkan pelajar membuat penilaian sendiri terhadap pemilihan tajuk, kaedah, produk dan persekitaran.
      Terakhir ialah pengubahsuaian terhadap produk. Ini bertujuan untuk menyediakan peluamg kepada murid pintar untuk menghasilkan produk yang dapat dapat bertindakbalas dengan potensi mereka. Ini boleh dicapai melalui beberapa cara seperti menggunakan masalah yang sebenar dan releven dengan pelajar dan aktiviti, menggunakan audien sebenar, dalam tempoh masa yang realistik dan menggunakan sistem pentaksiran yang sesuai.
5.1 Pemecutan (acceleration)
Kanak-kanak pintar mampu memahami apa yang diajar oleh gurunya dengan lebih cepat. Maka bagi mengelakkan kebosanan dan merugikan masa murid, strategi pemecutan diperkenalkan. Murid pintar boleh belajar dengan kadar yang lebih laju berbanding murid-murid lain dengan masa yang lebih singkat diperlukan (Colangelo, Assouline dan Gross, 2004). Untuk mengetahui keberkesanan pemecutan, guru boleh membuat pra pentaksiran untuk mengenal pasti kemahiran dan konsep yang telah mereka ketahui iaitu pengetahuan sedia ada. Sedikit pengubahsuaian terhadap kurikulum diperlukan kerana kanak-kanak dinilai daripada penguasaan dan bukannya kurikulum yang seragam dengan murid lain di peringkat yang sama.
Beberapa cara berbeza digunakan dalam melakukan pemecutan. Di antaranya ialah murid-murid bersekolah pada fasa awal umur dan kelas lompat (grade skipping). Ada juga menggunakan kaedah kelas tidak bergred iaitu kanak-kanak dikumpulkan dan belajar mengikut keupayaan dan pengalaman masing-masing. Ringkasnya, mereka belajar bukan mengikut umur masing-masing tetapi lebih kepada keupayaan individu. Selain itu, guru juga cuba menyesuaikan kurikulum dengan cara melangkau topik yang mudah dan menggabungkannya dengan topik yang lain. Grade telescoping pula memerlukan kanak-kanak menghabiskan sesuatu program dalam tempoh yang lebih cepat.
Di Malaysia, pemecutan dapat dilihat dalam program Kelas Sistem Ekspress bermula pada tahun 1962 hingga 1970an dan Penilaian Tahap Satu 1996. Walau bagaimanapun, kedua-dua program ini dihentikan kerana menimbulkan masalah yang sukar diselesaikan.

5.2 Pengayaan
Menurut Teare (1997), pengayaan adalah kualiti kerja yang tinggi daripada kumpulan umur yang normal, memahami lebih mendalam, pengalaman pembelajaran yang lebih meluas, mempunyai tahap pemikiran yang lebih tinggi, rangkuman pelbagai perkara dan aktiviti tambahan dan penggunaan bahan dan alatan sokongan yang melangkau sumber-sumber dalam julat normal.
Terdapat pelbagai model pengayaan telah dibina seperti Model Taylor (1971), Model Renzulli (1976), Model Torrance (1978), Model Feldhusen dan Kolloff (1978) dan Model Terffinger (1978). Namun, penulisan ini akan menghuraikan model yang sering digunakan di dunia dan di Malaysia iaitu Model Pengayaan Seluruh Sekolah atau The Schoolwide Enrichment Model (SEM). Menurut Renzulli (1988), SEM telah mengambil masa untuk menjalankan penyelidikan selama 15tahun dan telah dipraktikkan oleh para pendidik dan penyelidik. Model ini adalah kombinasi Model Pengayaan Triad oleh Renzulli (1977) dengan The Revolving Door Identification Model oleh Renzulli, Reis dan Smith (1981). Model SEM mempunyai tiga jenis pengayaan iaitu Type I, Type II dan Type III.
Pengayaan Type I merangkumi pengalaman murid dalam meneroka tajuk, idea dan bidang ilmu pengetahuan yang baru tetapi tidak dipelajari dalam kurikulum biasa. Pengayaan Type II pula dirangka untuk menggalakkan pembangunan pemikiran, perasaan, penyelidikan, komunikasi dan proses metodologi. Terakhir, Pengayaan Type III lebih menjurus kepada pelajar cuba menjalankan peranan sebagai penyelidik bagi membentuk pemikiran, perasaan dan bertindak seperti mereka telah professional dalam bidang tertentu.

6.0 KESIMPULAN
Kurikulum untuk pelajar pintar adalah berbeza daripada pelajar biasa. Walaupun terdapat persamaan dari beberapa segi terutamanya rangka kurikulum tetapi penekanan terhadap kandungan kurikulum dan strategi pengajaran dan pembelajaran mengandungi perbezaan yang ketara.
Program pemecutan ialah pelajar pintar cerdas dikehendaki menghabiskan pembelajaran dalam tempoh yang lebih pendek. Program pengayaan pula ialah menjalani pembelajaran pada tahap yang lebih tinggi dari kumpulan umur pelajar dan pemadatan kurikulum ialah menghilangkan beberapa topik yang telah dikuasai pelajar.
Di Malaysia, perkembangan kurikulum untuk pelajar pintar cerdas mula mendapat perhatian bermula dari pembentukan Kurikulum Maktab Rendah Sains MARA dan Program PERMATApintar.











7.0 BIBLIOGRAFI
Noriah Mohd Ishak, Rosadah Abd majid & Siti Fatimah Mohd Yassin (2009).Permatapintar
negara: pengalaman UKM. Selangor: Pusat PERMATApintar Negara, UKM.
Renzulli, J. S. (1977). The enrichment triad model: A guide for developing defensible programs for the gifted and talented. Mansfield Center, CT: Creative Learning Press.
Gallagher, J., & Gallagher, S. (1994). Teaching the gifted child (4th ed.). Boston: Allyn & Bacon.
Colangelo, N., & Davis, G. A. (2003). Handbook of gifted education (3rd ed.). Boston: Allyn & Bacon.
VanTassel-Baska, J. (1986). Effective curriculum and instruction models for talented students. Gifted Child Quarterly, 30, 164–169.

VanTassel-Baska, J. (2003). Research on curriculum models in gifted education. In J. VanTassel-Baska (Ed.), Curriculum and instruction planning and design for gifted learners (pp. 13–34). Denver, CO: Love.

VanTassel-Baska, J., & Stambaugh, T. (2006). Comprehensive curriculum for gifted learners (3rd ed.). Boston: Allyn & Bacon.


KAJIAN KES 1
KURIKULUM MAKTAB RENDAH SAINS MARA
Kurikulum MRSM menekankan kepada 3 bidang utama iaitu Program Akademik, Program Perkembangan Sahsiah dan Program Pembangunan Bakat.
Program akademik bagi pelajar-pelajar MRSM adalah sama seperti Kementerian Pelajaran Malaysia tetapi mereka dikehendaki mengambil beberapa subjek khas. Bagi pelajar menengah bawah, subjek-subjek khas yang turut ditawarkan ialah Sains Komputer, Kemahiran Berfikir, Kemahiran Belajar dan Bahasa Arab. Pelajar menengah atas pula ditawarkan subjek-subjek seperti Sains Komputer, Senireka, Keusahawanan, Perkembangan Kerjaya dan Kemahiran Berkomunikasi, Kemahiran Berfikir dan Kemahiran Belajar.
Melalui Program Pembangunan Sahsiah pula, aktiviti-aktiviti seperti Program Pembangunan Diri, Kem Cuti Sains, Kem Astronomi dan Kem Arkeologi Muda diperkenalkan. Pengenalan aktiviti seperti ini mampu mengoptimumkan keupayaan murid.
Bidang yang terakhir ialah Program Pembangunan Bakat yang merupakan program pengayaan yang telah diolah berdasarkan The Enrichment Triad Model (Renzulli, 1976). Terdapat tiga aras pengayaan iaitu Pengayaan Type I, Pengayaan Type II dan Pengayaan Type III. Pengayaan Type I dilaksanakan untuk memberi pendedahan kepada pelbagai disiplin, topik, isu, kerjaya, peristiwa dan persekitaran yang biasanya tidak diberikan dalam kelas formal. Antara aktiviti di bawah jenis ini ialah ceramah, dialog, lawatan-lawatan, tayangan, pembacaan, penerokaan melalui internet dan sebagainya. Pengayaan Type II pula memberi penekanan kepada aktiviti-aktiviti penerapan kemahiran dan emosi afektif. Kemahiran generik diterapkan seperti proses pemikiran aras tinggi, cara belajar, membuat penyelidikan, komunikasi dan sebagainya. Selain itu, kemahiran khusus seperti analisis statistik data turut diselitkan sebagai persediaan murid untuk menjalankan penyelidikan. Pengayaan Type III menjurus kepada aktiviti penyiasatan dan menghasilkan produk atau perkhidmatan yang memberikan kesan ke atas audien sebenar. Mereka akan bertindak sebagai seorang penyelidik dan mempratikkan semua kemahiran dan emosi afektif yang diterapkan dalam pengayaan sebelum ini.
Model Pengayaan Seluruh Sekolah (MPSS) atau Schoolwide Enrichment Model (SEM)
Model Pengayaan Seluruh Sekolah (MPSS) atau Schoolwide Enrichment Model (SEM) telah dilaksanakan di MRSM sejak tahun 1988. Ia terbahagi kepada tiga komponen iaitu komponen struktur pendidikan, komponen pemberian perkhidmatan pendidikan dan komponen organisasi.
Struktur pendidikan diwujudkan untuk memantau pelaksanaan MPSS. Struktur organisasi diwujudkan dan beberapa jawatan khas untuk melaksanakan program ini seperti Penyelaras Ko-kurikulum, Penyelaras Homeroom dan Ketua Jabatan Pengajian terkandung di dalamnya. Aktiviti pengayaan dilakukan secara berkumpulan mengikut mata pelajaran dan kursus yang dibuat adalah berkaitan dengan kemahiran. Bilik sumber yang mengandungi semua maklumat yang diperlukan oleh guru dan pelajar untuk melaksanakan MPSS diwujudkan. Selain itu, bilik kaunseling individu dan berkumpulan diwujudkan untuk murid yang hilang tumpuan dan bermasalah. Satu kaunseling kerjaya dilaksanakan supaya pelajar jelas mengenai kerjaya dan bidang yang ingin mereka ceburi. Bimbingan juga diberikan supaya mereka boleh menghasilkan satu produk rekacipta yang sesuai digunakan pada masa kini. Pengayaan secara berkumpulan mengikut mata pelajaran dan kursus berkaiatan kemahiran turut dilakukan. Mata pelajaran yang telah dikuasai juga diajar secara pecutan manakala mata pelajaran lain diajar mengikut kebolehan murid. Pecutan juga dilaksanakan secara kelas iaitu kelas yang menunjukkan prestasi yang tinggi dan stabil diberi program-program lain yang sesuai.
Pemberian perkhidmatan pendidikan menumpukan kepada pelbagai aktiviti seperti penyediaan portfolio yang komprehensif, pengubahsuaian kurikulum dalam bilik darjah, pelaksanaan program pengayaan pengajaran dan pembelajaran dalam dan luar bilik darjah, program peningkatan prestasi, pengiktirafan untuk pelajar yang menunjukkan prestasi membanggakan dan sebagainya.
Komponen organisasi pula terdiri daripada beberapa jawatankuasa seperti Jawatankuasa Pemanduan dan Pelaksanaan MPSS dan Jawatankuasa Pembangunan Staf. Jawatankuasa-jawatankuasa ini diwujudkan untuk pelbagai aktiviti yang menjurus kepada keberkesanan pelaksanaan MPSS seperti menerbitkan sumber dan bahan maklumat berkenaan dengan MPSS dan menyediakan jadual program dan aktiviti yang berkaitan dengan MPSS.
           
KAJIAN KES 2
PROGRAM PERMATApintar
Program PERMATApintar Negara dinaungi oleh Yang Amat Berbahagia Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abd Razak. Program ini dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Objektif program ini ialah untuk mengenalpasti pelajar pintar, cerdas dan berbakat seawal mungkin supaya potensi dan kebolehan mereka dapat dibangunkan secara optimum.
Terdapat beberapa program yang dijalankan dibawah Program PERMATApintar. Di antaranya ialah Perkhemahan Cuti Sekolah PERMATApintar Negara di UKM untuk pelajar berusia 9 hingga 15 tahun, Program PERMATAinsan yang dikendalikan oleh Universiti Sains Islam Malaysia untuk pelajar yang berusia 8 tahun dan AkademiPERMATApintar UKM iaitu sekolah khas pintar cerdas untuk pelajar tingkatan 3 pada tahun 2010 yang akan memasuki tingkatan 4 pada tahun 2011.
Perkhemahan Khas Matematik dan Sains (PKMS) diadakan khas buat pelajar Tingkatan 3 yang telah berjaya melepasi Ujian PERMATApintar UKM 2. Perkhemahan ini bertujuan mengenalpasti pelajar-pelajar potensi intelek yang tinggi. Pelajar-pelajar ini akan ditawarkan mengikuti Program Pendidikan Menengah Tinggi PERMATApintar UKM.  Antara kandungan kursus perkhemahan ini ialah pemantapan kepimpinan, kemahiran berfikir, kreativiti, kemahiran penyelesaian masalah, sikap proaktif, kemampuan bekerja dalam satu pasukan, kemahiran interpersonal, kemahiran intrapersonal, kemahiran komunikasi, dedikasi, ketabahan dan motivasi.
Program pendidikan Menengah Tinggi PERMATApintar UKM pula merupakan program pendidikan di UKM. Mereka yang terpilih adalah pelajar yang telah melepasi Ujian PERMATApintar UKM 2 dan telah berjaya menyertai sesi perkhemahan khas. Mereka akan mengikuti sesi persekolahan di UKM untuk Tingkatan 4dan Tingkatan 5. Mereka dikehendaki menduduki SPM dan peperiksaan lain di peringkat antarabangsa. Sesi pembelajaran juga adalah lebih mencabar.
Kurikulum dan aktiviti yang dijalankan semasa Perkhemahan Khas Matematik dan Sains (PKMS) ialah:
1.                  Ujian Kecerdasan Emosi
2.                                          Ujian Kompetensi (ujian kecekapan untuk Matematik, Sains,                Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris)
3.                  Penyelesaian masalah Matematik dan Sains secara kumpulan
4.                  Pembentangan projek mini
Program Perkhemahan Cuti Sekolah PERMATAPINTAR Negara pula merupakan program yang dirangka bagi menanpung keperluan pelajar-pelajar pintar dan cerdas di Negara kita. Program berbentuk pengayaan dan pecutan ini telah diadaptasi dari Program Musim Panas (Summer Camp) di Centre for Talented Youth, John Hopkins University. Sama seperti Falsafah Pendidikan Negara, objektif perkhemahan ini adalah untuk mengembangkan bakat dan kebolehan sedia ada pelajar, mengasah potensi pelajar secara holistik, mengembangkan kemahiran pelajar dan memupuk pembelajaran sepanjang hayat. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan ialah aktiviti akademik, aktiviti kokurikulum berbentuk kesenian dan sukan, program kerohanian dan lawatan sambil belajar.
Berikut adalah kursus yang ditawarkan kepada pelajar.
1.                  Menjadi saintis
2.                  Penulisan dan imaginasi
3.                  Penaakulan mantik
4.                  Rekacipta
5.                  Pengenalan kepada robotik
6.                  Biologi pecutan
7.                  Bioteknologi
8.                  Teknologi hujau
9.                  Kristal dan polimer
10.              Kriptologi
11.              Kebarangkalian dan teori permainan
12.              Mengarang penulisan
13.              Rekacipta lanjutan
14.              Robotic lanjutan
15.              Sains penerbangan

Program Pendidikan Menengah Tinggi PERMATApintar pula merupakan program yang dilahirkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia yang diberi kepercayaan oleh Jabatan Perdana Menteri untuk melaksanakan program ini. Pelajar-pelajar yang ditawarkan adalah terdiri daripada pelajar yang melepasi Ujuan PERMATApintar UKM 1 dan 2 dan Ujian Kompetensi Matematik dan Sains melalui perkhemahan Sains dan Matematik. Program ini mengambil masa 2 tahun dan menekankan kepada pembezaan pembelajaran iaitu pelajar belajar pada aras berbeza mengikut tahap pembelajaran masing-masing. Penekanan banyak diberikan kepada pembelajaran berpusatkan pelajar. Maka, kaedah pengajaran yang digunapakai adalah seperti kaedah koperatif dan kolaboratif, perbincangan kumpulan, amali, kajian lapangan, projek penyelidikan, pembinaan folio dan sebagainya. Terdapat beberapa tujuan program ini dijalankan seperti memberi peluang kepada pelajar pintar cerdas untuk mendapatkan pengalaman awal dalam menjalankan projek penyelidikan bagi membangunkan potensi minda yang kreatif dan inovatif dan menjadi model pendidikan pintar cerdas yang melibatkan integrasi kurikulum pendidikan menengah tinggi dengan suntikan sukatan pelajaran tahap pengajian tinggi yang diimbangi dengan kurikulum pendidikan peringkat antarabangsa.
Satu lagi program yang dijalankan ialah ASASIpintar UKM yang bermula pada bulan Jun 2010 dengan kohort pertama sebanyak 250 orang pelajar menyertainya.  Bidang pengajian tertumpu kepada Sains, Teknologi dan Matematik. Program ini menggunapakai kurikulum khas yang mengambil sejumlah 40 jam kredit. Pengendaliannya melibatkan semua fakulti yang berasaskan sains dan teknologi termasuk Fakulti Pendidikan, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Fakulti Sains dan Teknologi, Fakulti Perubatan, Fakulti Pergigian dan Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu. Pelajar berpeluang bersama-sama pakar untuk menjalankan penyelidikan melalui pembelajaran berasaskan masalah.
Setelah meneliti kedua-dua proram iaitu Program PERMATApintar dan Kurikulum Pengajian Pelajar-pelajar MRSM di Malaysia, jelas menunjukkan bahawa pendidikan kanak-kanak pintar dan cerdas di Malaysia tidak diabaikan.

0 comments:

Post a Comment