Pages

Thursday, June 2, 2011

INTEGRASI DAN PERPADUAN KAUM

1.0 PENGENALAN
Integrasi dan perpaduan kaum memainkan peranan yang sangat besar dalam memajukan negara. Oleh yang demikian, kerajaan menjadikan sektor pendidikan sebagai medium memupuk perpaduan dan integrasi yang kuat dia antara kaum-kaum di Malaysia. Namun begitu, apakah yang dimaksudkan dengan perpaduan dan integrasi itu sendiri? Perpaduan merupakan suatu yang menyatupadukan anggota masyarakat dan negara seluruhnya melalui ideologi negara supaya tiap-tiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta satu perasaan kebangsaan bersama di kalangan mereka. Manakala integrasi bermaksud menyatukan etnik-etnik atau kelompok-kelompok yang terasing pada asalnya kepada satu bentuk lain yang tersendiri.
           
2.0 SEJARAH PEMUPUKAN INTEGRASI DAN PERPADUAN NEGARA
Beberapa peristiwa utama negara telah berlaku yang hampir melumpuhkan dan tidak mewujudkan peluang bagi membina perpaduan negara seperti Dasar Pecah dan Perintah yang diperkenalkan British, peristiwa berdarah 13 Mei 1969 dan juga isu kerakyatan Jus Soli. Selanjutnya, Dasar Pendidikan Negara (DPN) yang dilihat sebagai medium utama dalam merencanakan langkah bagi menyatupadukan semula rakyat-rakyat berbilang kaum di Malaysia.
            2.1 Dasar Pecah dan Perintah (Divide and Rule)
Integrasi dan perpaduan negara merupakan elemen yang sangat penting dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang stabil dari segi sosial, politik dan ekonomi. Pelbagai aspek perlu dititikberatkan bagi memastikan semua kaum dapat hidup dalam keadaan aman dan sejahtera. Justeru itu, pelbagai langkah telah diambil kerajaan sejak dari zaman kemerdekaan lagi bagi memastikan semua ini dapat dikecapi. Hal ini kerana dasar pecah dan perintah (Divide and Rule) yang digagaskan oleh kerajaan British di Tanah Melayu telah menyebabkan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai ras dan kaum berpecah dan dimanipulasikan mengikut kepentingan British.
Kaum-kaum utama yang wujud pada masa itu yang terdiri daripada 3 Teks kod rumpun utama iaitu Melayu, Cina dan India dikelaskan mengikut jenis pekerjaan dan sistem pendidikan yang berbeza-beza. Melalui dasar ini, orang melayu ditempatkan di kawan luar bandar yang kebanyakan mencari rezeki dengan menjadi nelayan dan petani. Manakala kaum Cina pula menetap di kawasan bandar dan menguasai segala aktiviti ekonomi serta melibatkan diri dalam bidang perlombongan yang begitu mnguntungkan. Masyarakat India pula tinggal dan bekerja di pinggir bandar yakni di ladang-ladang sebagai penggerak utama industri perladangan pada waktu itu. Masyarakat petani berbangsa Melayu, peniaga Cina dan juga buruh ladang berketurunan India pada ketika itu merasa curiga antara satu sama lain serta tidak berkomunikasi secara langsung disebabkan oleh taktik kotor yang diterapkan oleh British.
            2.2 Peristiwa 13 Mei 1969
            Keadaan tersebut menjadi bertambah buruk sehingga tercetusnya peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Peristiwa tersebut telah menjadi penunjuk aras betapa teruknya hubungan dan perasaan yang dimiliki oleh masyarakat ketiga-tiga kaum terbesar itu. Tidak banyak perubahan yang berlaku sejak dari Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dengan keadaan pada beberapa dekad sebelumnya. Perasaan tidak berpuas hati masih lagi bersarang di benak hati ketiga-tiga kaum. Bangsa Melayu terus-menerus ketinggalan dari segi penguasaan dalam bidang ekonomi dan pendidikan disebabkan oleh koordinat tempat tinggal mereka nun jauh di hujung kampung. Orang Cina pula terus menerus maju kehadapan dalam bidang perusahaan. Justeru itu, kaum Melayu merasa ketinggalan dan tertindas dek kemiskinan di bumi mereka sendiri. Bagi masyarakat Cina dan India pula, mereka bimbang tentang syarat-syarat hak kerakyatan walaupun sebahagian daripada mereka telah bersedia untuk menumpahkan kesetiaan kepada Tanah Melayu. Namun sebilangan besar dari mereka masih mengamalkan dasar kesetiaan terhadapa negara asal masing-masing.
            Penakhlukan Jepun di Tanah Melayu pada perang dunia kedua juga tak kurang mendatangkan kesan yang hebat ke atas hubungan integrasi kaum di negara ini. Pihak Jepun pula mengamalkan dasar anti-Cina dan pro-Melayu yang ternyata mengeruhkan lagi keadaan semasa dengan menyebabkan timbulnya perasaan bensi dan prasangka buruk masyarakat Cina terhadap orang Melayu. Orang Cina bertindak mengambil kesempatan utuk membalas dendam dengan menganggotai Bintang Tiga atau lebih dikenali sebagai Parti Komunis Malaya (PKM) dalam tempoh masa Jepun menyerah kalah dan sebelum kedatangan kembali pihak British. Lebih memburukkan lagi keadaan adalah apabila kebanyakan orang Cina terlibat dalam pergerakan PKM manakala orang Melayu kebanyakannya merupakan anggota pasukan keselamatan ketika zaman darurat pada 1948-1960.
            Bukan itu sahaja, kedudukan dan hak istimwa orang Melayu sebagai penduduk asal Tanah Melayu turut dipertikaikan dengan wujudnya konsep "Malaysia utuk orang Malaysia" yang turut membawa kepada penyingkiran Singapura dari Malaysia pada tahun 1965. Keadaan ini sebenarnya berakar umbi daripada tindakan Lee Kuan Yew yang menyemarakkan perasaan anti-Cina dan anti-Melayu di kalangan penduduk Malaysia. Malahan tindakannya itu masih berterusan sehingga kini. Keadaan tersebut akhirnya membawa kepada berlakunya peristiwa  13 Mei 1969 yang menjadi sejarah hitam negara. Kejadaian berdarah itu telah banyak meragut banyak nyawa dan kerugian harta benda serta turut menjadi manifestasi hubungan antara kaum di Tanah Melayu yang sememangnya retak menanti belah. Peristiwa 13 Mei 1969 berlaku sebaik sahaja keputusan pilihan raya umum 1969 diketahui.
            2.3 Jus Soli
            Selain peristiwa 13 Mei, masalah Jus Soli juga mengunggat kestabilan sosio-ekoomi negara di mana hak keistimewaan Melayu tidak dihormati oleh pihak warga asing yang datang ke negara ini. Jus Soli merupakan suatu fenomena penting yang pernah melanda negara ini suatu masa dulu serta memberi kesan kepada komposisi bangsa-bangsa rakyat di Malaysia. Jus soli berasal dari bahasa Latin yang memberi maksud "hak untuk kawasan" atau kewarganegaraan hak lahir bermaksud hak kerakyatan sama rata iaitu taraf kerakyatan yang diberi berdasarkan tempat kelahiran tanpa mengira bangsa dan keturunan. Oleh itu, orang Melayu merasa tidak berpuas hati apabila isiu kerakyatan diberikan dengan sewenang-wenangnya kepada warga asing.
            Fenomena ini akan mengurangkan kekuatan penguasaan kaum Melayu di Tanah Melayu. Selepas melalui beberapa siri rundingan di antara raja-raja Melayu, orang Melayu mengambil keputusan untuk menerima dasar Jus Soli ini. Namun penerimaan dasar ini adalah dengan kewujudan beberapa syarat iaitu  orang bukan Melayu mengiktiraf kedudukan istimewa orang Melayu dalam Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka. Selain itu, agama Islam juga dijadikan sebagai agama rasmi Persekutuan Tanah Melayu. Begitu juga dengan peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 dan 153.
            Dalam pada itu juga British yang masih lagi berdendam akibat sokongan yang diberikan oleh orang Melayu terhadap Jepun membawa kepada penubuhan Gagasan Malaya (Malayan Union). Salah satu daripada usul yang terdapat di dalam gagasan tersebut ialah British ingin menyeragamkan keadaan yang kurang pasti tentang kependudukan kaum lain di Tanah Melayu. Pemberian kerakyatan melalui prinsip Jus Soli juga kononnya bagi menghargai jasa warga Cina yang telah berganding bahu dengan British untuk menentang Jepun. Hal ini telah menyebabkan ketidakseimbangkan dalam penguasaan kuasa politik dan ekonomi yang ternyata menguntungkan pihak British dan orang Cina sahaja. Di kala perpaduan dan integrasi kaum di Malaysia yang dilihat sangat jauh untuk kecapi pada waktu itu, kerajaan telah mengambil inisiatif dengan menubuhkan beberapa dasar seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan yang akan dikupas dengan lebih lanjut iaitu Dasar Pendidikan Negara (DPN).
            3.0 Dasar Pendidikan Negara (DPN)
            Dasar Pendidikan Negara (DPN) merupakan tunjang kepada aliran ilmu secara formal terus kepada masyarakat terutamanya golongan muda. Jika dikaji situasi masa kini, kebanyakan masyarakat memnadang tinggi institusi-institusi pendidikan sebagai pemangkin kemajuan sosio-ekonomi negara. Kerajaan juga memperuntukkan jumlah yang besar kepada bidang pendidikan negara setiap kali perancangan bajet negara dibuat. DPN mengalami evolusi dari zaman sebelum merdeka hingga kini.
            3.1 Evolusi Dasar Pendidikan Negara (DPN)
            Sejarah pendidikan negara telah mengalami pelbagai perubahan sejajar dengan perkembangan yang dialami negara. Evolusi pendidikan ini melalui lima fasa utama iaitu ;
3.1.1    Zaman Pra-Merdeka
Sistem pendidikan di Tanah Melayu pada zaman pra-merdeka yang berlangsung sebelum 1957 dikelolakan oleh British mengikut acuan yang dirasakan terbaik bagi mereka ketika itu. Namun, sistem pendidikan ketika itu dilihat mempunyai pelbagai kekurangan dan berat sebelah. Sekolah-sekolah di Tanah Melayu  dipecahkan kepada 4 jenis iaitu sekolah Inggeris, sekolah Cina, sekolah Tamil dan sekolah Melayu. Setiap sekolah menggunakan bahasa ibunda masing-masing sebagai bahasa penghantar dan sistem ini dinamakan sebagai sistem vernakular. Sistem pendidikan ini dilaksanakan mengikut kepentingan kaum masing-masing. Di antara ciri-ciri pendidikan yang diamalkan oleh setiap jenis sekolah adalah setiap sekolah dikhususkan untuk kaum tertentu sahaja, setiap sekolah menggunakan bahasa pengantar, buku teks dan sukatan pelajaran yang berbeza. Sekolah dibina di kawasan tertentu seperti di ladang, bandar dan kampung serta tidak menyediakan pelajaran vokasional dan teknikal. Sistem pendidikan yang dilaksanakan itu tidak dapat menyatupadukan kaum kerana tumpuan taat setia mereka tertumpah kepada negara asal masing-masing. Hal ini membawa kepada beberapa rancangan bagi memperbaiki situasi buruk berkenaan.
3.1.1.1  Rancangan Cheeseman
Kerajaan British cuba menyusun semula sistem pendidikan di Tanah Melayu melalui Rancangan Cheeseman selepas berakhirnya perang dunia kedua. Objektif rancangan ini adalah bagi  membaiki sistem pendidikan dan menyatukan aliran yang berlainan dalam sukatan dan menyatukan aliran yang berlainan dalam sukatan pendidikan. pendidikan. Namun, rancangan dilihat sebagai gagal menepati objektif kerana hanya tertumpu kepada sekolah rendah sahaja manakala sekolah menengah masih lagi dibentuk mengikut sistem vernakular.
3.1.1.2 Penyata Barnes (1950)
Pada bulan Ogos 1950 sebuah jawatankuasa dibawah  L.J Barnes telah ditubuhkan untuk mengkaji semula sistem pendidikan Tanah Melayu. Di antara saranan yang diutarakan ialah; membentuk sistem pendidikan yang bersifat kebangsaan untuk semua kaum dengan menggunakan hanya dua bahasa penghantar iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Sekolah vernakular Cina dan Tamil dihapuskan di pringkat menengah dan digantikan dengan Bahasa Inggeris. Namun bgitu, Penyata Barnes ditolak kerana bagi orang Melayu mereka merasakan pendidikan Melayu tidak diberi perhatian sewajarnya dan seolah-seolah menumpang di sekolah Inggeris. Masyarakat Cina pula tidak berpuas hati dengan penghapusan pendidikan mereka yang di anggap sebagai salah satu cabang kebudayaan mereka. Begitu juga dengan kaum India.
3.1.1.3 Penyata Fenn-Wu (1951)
Ketidakpuasan hati masyarakat Cina membawa kepada permintaan mereka supaya diadakan satu jawatankuasa bagi menyiasat kedudukan pendidikan Cina di Tanah Melayu. Justeru itu, Dr. W.P Fern dan Dr. Wu Teh Yao dilantik bagi  mengkaji sistem pendidikan Cina. Jawatankuasa tersebut mengkaji penggunaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan Cina. Laporan Fenn-Wu tidak dapat diterima oleh pemimpin-pemimpin Melayu trutamanya daripada kalangan pemimpin Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) kerana cadangan itu dilihat sebagai tidak memberikan kelebihan kepada kaum Melayu. 
3.1.1.4 Ordinan Pelajaran (1952)
Setelah penolakan kepada Penyata Barnes dan Fenn-Wu, Jawatankuasa Penasihat Pusat ditubuhkan bagi menyelesaikan masalah tersebut. Jawatankuasa yang ditubuhkan pada tahun 1951 dianggotai oleh 12 orang dari golongan pendidik, pegawai-pegawai Tanah Melayu dan wakil-wakil tidak rasmi kaum Melayu, Cina dan India. Jawatankuasa ini turut bersetuju dengan beberapa cadangan yang dikemukakan oleh Barnes dan Fenn-Wu iaitu sistem sekolah kebangsaan akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat. Di samping bahasa ibunda diajar di sekolah-sekolah Cina dan Tamil,  bahasa Melayu dan bahasa Inggeris akan digunakan juga sebagai bahasa pengantar.
Pada tahun 1952, sebuah jawatankuasa khas telah dibentuk untuk mengkaji ketiga-tiga laporan jawatankuasa sebelumnya dan membuat beberapa cadangan baru. Jawatankuasa ini dianggotai oleh sebelas ahli Majlis Perundangan Persekutuan. Draf perundangan dari jawatankuasa khas itu telah dibawa ke Dewan Perundangan Persekutuan, diluluskan, dan kemudian dijadikan  Ordinan Pelajaran 1952. Ordinan ini menjelaskan tentang beberapa perkara iaitu memberi pelajaran sekolah rendah secara percuma selama 6 tahun, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil boleh diajar di sekolah rendah jika lebih dari 15 orang murid mahukannya. Pendidikan vokasional juga dikembangkan ke peringkat menengah.
3.1.1.5 Penyata Razak (1956)
Setelah kerajaan Perikatan memerintah pada 30 September 1955, satu jawatankuasa telah dibentuk untuk mencadangkan satu sistem pelajaran mencadangkan satu sistem pelajaran kebangsaan yang boleh diterima oleh seluruh masyarakat. Jawatankuasa itu mengandungi 15 orang ahli dan dipengerusikan oleh Tun Abdul Razak, Menteri Pendidikan ketika tu setelah dipilih menjadi  ahli Majlis Perundangan Persekutuan. Laporan Razak telah diterbitkan dalam bulan Mei 1956 yang kemudiannya dikenali sebagai Penyata Razak.  Beberapa perkara dalam Penyata Razak telah menjadi panduan untuk membentuk dasar pendidikan negara kemudiannya. Mengikut Laporan Razak, kanak-kanak akan terus menerima pendidikan rendah mereka di sekolah vernakular  yang berasingan. Jawatankuasa itu berusaha meningkatkan itu berusaha meningkatkan bahasa Melayu ke tahap yang paling atas dengan dengan mewajibkan pengajaran bahasa Melayu di semua jenis sekolah.  Kesan daripada cadangan ini, murid-murid Melayu akan mahir dalam dua bahasa dan murid bukan Melayu mahir dalm tiga bahasa. Bagi memastikan bahasa Melayu diajar sekolah menengah, bahasa Melayu dijadikan mata pelajaran wajib di dalam peperiksaan, iaitu peperiksaan peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) atau Sijil Rendah Pelajaran (SRP) atau Lower Certificate of Education (LCE)  serta di peringkat peringkat Sijil Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu atau  Malaysian Certificate of Education (MCE). Penyata Razak telah berjaya memikat masyarakat bukan Melayu kerana tidak mengubah penggunaan bahasa Cina (Mandarin) atau bahasa Tamil.
3.1.2 Zaman Pasca Merdeka (1957-1970)
Sejurus mencapai kemerdekaan, kerajaan menumpukan usaha untuk mewujudkan satu sistem pelajaran kebangsaan. Perakuan Penyata Razak dikaji semula oleh Jawatankuasa Rahman Talib pada tahun 1960. Laporan jawatankuasa ini menjadi asas kepada penggubalan Akta Pelajaran 1961 yang menggariskan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama pada semua peringkat pendidikan serta penggunaan kurikulum dan peperiksaan yang sama untuk semua pelajar.
3.1.3 Zaman Dasar Ekonomi Baru (1971-1990)
Dasar Ekonomi Baru (DEB, 1970-1990) bertujuan bagi  mengukuhkan perpaduan negara melalui pembasmian kemiskinan di kalangan semua kaum dan penyusunan semula masyarakat. Dalam tempoh ini, pendidikan diberikan keutamaan untuk menangani masalah ketidakseimbangan dalam masyarakat dengan menyediakan peluang pendidikan yang sama untuk semua kaum.
Sistem pendidikan mengalami banyak perubahan, antaranya Bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar utama yang dilaksanakan sepenuhnya pada peringkat menengah di Semenanjung Malaysia dan Sabah pada tahun 1982, manakala di Sarawak pada tahun 1990. Penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua juga turut diberi tumpuan. Walau bagaimanapun, selaras dengan Akta Pelajaran 1961, sekolah rendah kerajaan dan bantuan kerajaan yang menggunakan bahasa Cina atau bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar terus dikekalkan. Mata pelajaran Sivik diperkenalkan bagi menyemai semangat jati diri di kalangan pelajar. Pendidikan Sains dan Teknikal diberi lebih penekanan pada peringkat menengah bagi menghasilkan tenaga kerja mahir.
3.1.4 Zaman Dasar Pembangunan Negara (1991-2000)
Dalam pada tempoh 1991-2000, sistem pendidikan negara mengalami pelbagai perubahan yang drsatik apabila banyak akta yang telah diubah. Contohnya, Akta Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 1996 yang  memperluas autonomi dalam pengurusan dan kewangan kepada universiti awam bagi menentukan program ke arah kecemerlangan dalam pendidikan dan juga Akta Lembaga Akreditasi Negara 1996 yang memastikan tahap akademik yang tinggi, jaminan kualiti tinggi dan kawalan mutu pendidikan terpelihara dalam penyediaan pendidikan tinggi swasta.
Perubahan-perubahan lain yang berlaku adalah peningkatan akses dalam pendidikan khususnya peringkat tertiari, perkembangan ICT dalam pendidikan termasuk penubuhan Sekolah Bestari pada tahun 1999, menaiktarafkan kelayakan guru-guru daripada sijil kepada diploma, penubuhan kolej matrikulasi dan  kolej komuniti, menaiktarafkan Maktab Perguruan Sultan Idris kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan menaiktarafkan Sekolah Menengah Vokasional kepada Sekolah Menengah Teknik.
3.1.5 Zaman Dasar Wawasan Negara (2001-2010)
Pelbagai cabaran yang dialami pada zaman ini membawa kepada penambahbaikan danpemantapan sistem pendidikan diperlihatkan dalam perundangan, dasar dan program utama seperti Akta Pendidikan 1996 (Pindaan 2002) memperuntukkan pendidikan wajib bagi pendidikan rendah yang dilaksanakan secara berperingkat mulai Tahun 1 pada 1 Januari 2003,  Program Bimbingan dan Kaunseling diperkukuhkan dengan memperuntukkan seorang kaunselor bagi setiap 500 pelajar mulai tahun 2003, Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dilaksanakan pada tahun 2003, Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP) diperkenalkan pada tahun 2003, Sekolah Pusat, Sekolah Wawasan dan Sekolah Model Khas ditubuhkan dalam Rancangan Malaysia Kelapan(RMKe-8) dan  Pemberian Bantuan One-Off RM120 kepada murid sekolah rendah daripada keluarga miskin pada tahun 2002-2003.
            4.0 Keberkesanan Dasar Pendidikan dalam Pemupukan Integrasi dan Perpaduan Kaum
Seperti kebanyakan dasar yang lain, Pendidikan Malaysia juga mempunyai matlamat yang tersendiri. Antara 3 matlamat utama Pendidikan Malaysia ialah melahirkan individu dan masyarakat yang berilmu, beramal, dan berakhlak murni berasaskan kepercayaan kepada tuhan. Yang kedua ialah memupuk ciri-ciri patriotisme dan mengeratkan perpaduan ke arah membina bangsa Malaysia yang kukuh dalam segala bidang. Yang ketiga ialah untuk melahirkan sumber manusia yang bertaraf dunia untuk memenuhi keperluan negara ke arah mencapai taraf negara maju.
            Di antara kandungan yang terdapat di dalam Penyata Razak (1956), perenggan 12 ialah,
'Tujuan dasar pelajaran ini ialah bermaksud hendak menyatukan budak-budak daripada  semua bangsa dalam negeri ini dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa pengantar yang besar, walaupun perkara ini tidak dapat dilaksanakan dengan serta-merta melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur-ansur.’
            Berdasarkan kenyataan di atas, jelas menunjukkan bahawa Penyata Razak 1956 ini mengutamakan integrasi kaum di negara ini dan unsur serta nilai perpaduan menjadi teras bagi menjamin kesejahteraan dan kepentingan masyarakat Malaysia. Penyata Razak jelas telah menggariskan aspirasi ini di dalam penggubalan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Aliran Pendidikan Kebangsaan adalah saluran berkesan yang dapat membina warga Malaysia yang kukuh bersatu padu.
            4.1 Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Penghantar
Pengukuhan perpaduan melalui pendidikan dapat dilihat dengan menyeragamkam penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar di semua sekolah. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah dengan jelas diperuntukkan di bawah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Perlaksanaan perkara telah membolehkan seluruh warga Malaysia berkomunikasi sesama sendiri melalui Bahasa Melayu. Justeru itu, segala salah-paham dapat dikurangkan. Bahasa Melayu juga diwajibkan penggunaannya dalam maksud rasmi di negara kita. Selaras dengan kedudukan serta peranannya, bolehlah dikatakan Bahasa Kebangsaan diajar sebagai salah satu matapelajaran penting di semua peringkat dan jenis sekolah di Malaysia.
            4.2 Kurikulum Bersepadu
            Kurikulum merupakan satu usaha ke arah mewujudkan berbagai-bagai program pengajaran dan pembelajaran bagi membolehkan murid dan pelajar menerima ilmu pengetahuan, memperkembang dan meningkatkan kemahiran serta menghayati nilai-nilai yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Negara.
            Sistem pendidikan di Malaysia mengamalkan  penggunaan kurikulum yang seragam iaitu bersandarkan Kurikulum Kebangsaan. Kurikulum Kebangsaan merupakan satu lagi ciri dasar Pendidikan Kebangsaan yang bertujuan untuk mewujudkan keperibadian kebangsaan ke arah pembentukkan perpaduan negara. Kurikulum Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah di negara ini telah digubal sedemikian demi mencapai dasar perpaduan.
            Bagi sekolah rendah, kurikulumnya digubal untuk memberi kemahiran asas dan menerapkan perkembangan ilmu pengetahuan dan sosialisasi di kalangan murid-murid sekolah rendah. Manakala, sekolah menengah pula merupakan kesinambungan sekolah rendah dan ia pula menekankan pendidikan yang seimbang dan bersepadu. Melalui pelaksanaan ini, Kementerian Pendidikan yakin  mampu mewujudkan jenis rakyat yang diingini oleh Falsafah Pendidikan Negara. Kementerian Pendidikan telah menjadikan kurikulum sebagai salah satu asas untuk membentuk perpaduan di kalangan murid-murid yang mendapat pendedahan bermula dari alam persekolahan lagi.
             Pendedahan sejak awal dapat memupuk semangat patriotisme yang tinggi misalnya melalui subjek sejarah. Hal ini kerana, subjek ini menceritakan kisah perjalanan pembentukkan negara sejak awal lagi. Ia turut memuatkan semangat perjuangan pejuang tanah air untuk menuntut kemerdekaan. Secara tidak langsung semangat patriotisme meresap dalam diri pelajar yang belajar mengenainya. Malah, sukatan pelajaran yang sama juga menyumbang kepada perpaduan negara.
            4.3 Peperiksaan Secara Seragam
            Semua institusi pendidikan harus menyediakan peperiksaan awam yang sama agar tidak wujud masalah tentang tahap kelayakan seseorang  untuk memasuki tahap yang lebih tinggi. Peperiksaan-periksaan awam yang dimaksudkan ialah Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) atau Sijil Peperiksaan Malaysia Vokasional (SPMV), dan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM). Keputusan  peperiksaan ini digunakan untuk tujuan pensijilan dan penentuan kerjaya di samping melanjutkan pelajaran. Selain itu, keputusan peperiksaan juga dijadikan asas mendapatkan biasiswa dan dermasiswa. PMR adalah untuk melanjutkan pelajaran ke tingkatan empat, SPM untuk melanjutkan pelajaran tinggi, maktab perguruan, kursus matrikulasi, kursus bertaraf diploma dan tingkatan 6, STPM pula untuk pemilihan kemasukan ke universiti tempatan atau luar.
            4.4 Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP)
            Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) sejak tahun 1986. Program ini pada awalnya telah dilaksanakan di peringkat sekolah rendah dan kini diperluaskan ke semua sekolah rendah dan menengah pada tahun 2005. KPM memandang berat akan pentingnya dijalin hubungan yang rapat antara murid pelbagai kaum di sekolah supaya wujud kesefahaman dan perpaduan antara mereka. Dengan adanya persefahaman dan berbaik sangka maka akan timbul suasana hormat-menghormati terhadap agama, budaya dan adapt resam sesuatu kaum dengan kaum yang lain. KPM menyediakan peluang kepada murid pelbagai kaum untuk bergaul mesra secara sedar dan terancang. Proses perpaduan ini dapat dipupuk dan dibina agar semangat tersebut dapat diamalkan dalam masyarakat. Usaha ini dijana semula kea rah merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan rakyat Malaysia hidup bersatu padu dan harmoni.
5.0 Kesimpulan
Bukan mudah untuk mencapai apa yang negara ini kecapi sekarang ini. Justeru itu, setiap satu warga Malaysia perlu berasa syukur di atas kejayaan yang diperoleh ini. Salah satu medium atau alat penyatuan rakyat Malaysia  adalah melalui pendidikan kebangsaan. Institusi sekolah diharap bukan lagi hanya sebagai tempat untuk belajar menulis, mengira dan membaca tetapi sekolah juga berperanan untuk membimbing pelajar untuk hidup bermasyarakat dan bernegara. Kaedah ini di anggap paling efektif kerana setiap orang pasti akan melangkah ke alam persekolahan dan keadaan ini sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan semangat cintakan negara berdasarkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sukatan kurikulum yang bersepadu dan sistem peperiksaan awam yang seragam. Semangat patriotik hendaklah disemai dalam diri setiap kumpulan ras supaya  negara kita kukuh daripada dijajah oleh anasir luar melalui pemikiran mahupun secara langsung. Negara yang maju dari segi ekonomi dan sosial mestilah bertulangbelangkang rakyat yang bersatu. Di harap kestabilan politik di Malaysia dapat dikekalkan selamanya.
6.0 Bibiliografi
1.      Abdullah Sani Yahaya. (2003). Perkembangan Pendidikan di Malaysia. Bentong, Pahang :  PTS Pub & Distributor
2.      Fatimah Azzahra & Yusri Ab. Malik. (1995). Siri Perpaduan Negara. Pendidikan ke arah Perpaduan. Petaling Jaya : Penerbit Setiamas
3.      Sufean Hussin. (2002). Dasar Pembangunan Pendidikan Malaysia. Teori dan Analisis. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa & Pustaka
4.      Zaiton bte Abdullah. (2010). Apakah Prinsip Jus Soli?. Diakses pada 1 Mei 2011, dari laman sesawang http://www.scribd.com/doc/23607810/Apakah-prinsip-jus-soli-Zaiton
5.      Kementerian Pelajaran Malaysia. (2008). Rancangan Integrasi Murid untuk Perpaduan (RIMUP). Dasar Pelaksanaan Rimup 2008. Diakses pada 1 Mei 2011, dari laman sesawang http://www.slideshare.net/cikgupaklong/dasar-pelaksanaan-rimup-2008-presentation
6.      Kementerian Penerangan Malaysia. (2011). Dasar Pendidikan Kebangsaan. Diakses pada 1 Mei 2011, dari laman sesawang http://pmr.penerangan.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=242:dasar-pendidikan-kebangsaan&catid=88:dasar-dasar-negara



3 comments:

JJ said...

hebat ni

ajasahara said...

tq cikgu.. sgt berguna utk dibuat rujukan.

ajasahara said...

tq cikgu.. sgt berguna utk dibuat rujukan.

Post a Comment